Wednesday, 19 June 2013

Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Siri 2)

Kali ini saya nak ceritakan Fasa Ke-2 tentang perjalanan ke Negeri Sabah. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Sabah menaiki penerbangan Air Asia mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Untuk penerbangan tambang murah, pesawat akan mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Pemeriksaan Imigresen di lapangan terbang akan dilakukan sebaik sahaja kita turun dari pesawat. Kepada yang ada paspot tu mudah la berurusan. Tapi, sekiranya mengunakan Kad Pengenalan, border pas akan dikeluarkan oleh pihak Imigresen dalam bentuk resit. Resit ini perlu disimpan untuk ditunjukkan semula semasa pulang nanti. Jadi, seperti yang dinyatakan dalam entri sebelum ini, jangan lupa bawa pengenalan diri masing-masing walaupun bayi yang masih kecil.


Kereta Sewa
 
Bagi mereka yang memerlukan kereta sewa, terdapat banyak syarikat yang menawarkan khidmat tersebut. Apa yang boleh saya cadangkan ialah, anda survey dahulu kadar yang diberikan dan buat perbandingan.  Saya telah memilih menggunakan khidmat kereta sewa Syarikat Sewa Bah. Pada pandangan saya, ia memberikan perkhidmatan yang baik dan kondisi kenderaan juga dalam keadaan baik serta harga yang berpatutan. Memandu sendiri adalah pilihan terbaik bagi mereka yang ingin ke Sabah. Tapi, anda perlu ada kemudahan GPS atau peta sekiranya pertama kali ke sana.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Hari Pertama

Penerbangan kami sampai ke Sabah lebih kurang jam 1.30 tengah hari. Selepas selesai uruasan mengambil kereta sewa yang dihantar ke Lapangan Terbang, kami mencari tempat makan.

Sepanjang pencarian google saya sebelum ke Sabah, mereka mencadangkan untuk merasai makan di Restoran Kak Nong yang terletak di persimpangan Sutera Harbour Resort.

Selesai menjamu selera, kami bergerak menuju ke tempat penginapan kami di Tune Hotel Kota Kinabalu. Lebih kurang 15 minit perjalanan menaiki kereta dari Pusat Bandar Kota Kinabalu. Hanya ini sahaja hotel murah yang ada kerana kebanyakan hotel murah sekitar Kota Kinabalu dah penuh. Dalam perjalanan ke Hotel, anda boleh menyaksikan pemandangan laut yang luas kerana Kota Kinabalau terletak di tepi laut yang airnya biru.


Pada sebelah petangnya, kami berjalan-jalan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Tempat utama yang hendak kami tuju ialah Pasar Kraftangan dan Pasar Filipina. Memang tempat ini dah bermain-main di fikiran sebelum datang ke sini lagi.



Di Pasar Kraftangan, terdapat banyak cenderamata yang boleh dibeli. Yang paling terkenal di sini ialah mutiaranya. Untuk berurusniaga di sini kena bijak memilih dan pandai tawar menawar. Kebanyakan gerai di dalam Pasar Kraftangan ini menjual barangan yang sama, jadi anda perlu memilih gerai yang menawarkan harga terbaik.
 
Jam menunjukkan jam 6.00 petang. Namun suasana di Kota Kinabalu sudah mulai gelap. Di luar Pasar Kraftangan, terdapat Pasar Filipina. Pasar ini amat popular dengan hasil lautnya sama ada yang telah dimasak, yang akan dimasak atau yang mentah. Terdapat banyak gerai-gerai makan yang didirikan di sini untuk pengunjung-pengunjung menikmati makanan laut yang segar.


Kepada yang tidak meminati makanan laut, ada juga makan lain yang disediakan seperti sayap panggang (kepak ayam), makanan bergoreng dan lain-lain. Tapi jangan terkejut, kuantiti sepinggan nasi atau mee goreng di sini adalah banyak. Sesuai untuk makan berdua jika perut anda kecil. Mee yang digunakan juga lebih halus dan menyerupai mee segera.
 
Ikuti episod seterusnya dalam entri akan datang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...