Friday 28 June 2013

Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas Pulau Pinang

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas Pulau Pinang. Di sini saya nak kongsikan sedikit info menarik tentang masjid yang cukup cantik ini.

Masjid Abdullah Fahim dinamakan sempena nama tokoh ulama' yang terkenal suatu masa dahulu iaitu Sheikh Abdullah Fahim. Tokoh ulama' ini dilahirkan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah pada tahun 1870 di satu tempat tidak jauh dari Masjid al-Haram yang bernama Shuib Ali. Bolehlah dapatkan maklumat berkenaan tokoh tersebut di sini.
 
Projek pembinaan Masjid Abdullah Fahim melibatkan kos sebanyak RM25 juta. Masjid baru ini mula dibina pada bulan Jun 2009. Masjid ini mampu memuatkan lebih kurang 6000 jemaah pada satu-satu masa.

Majlis Penyerahan secara rasmi Masjid Abdullah Fahim daripada Pihak Perlaksana iaitu Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang kepada Pejabat Pembangunan Negeri telah berjalan dengan jayanya pada 1 Oktober 2012. Seterusnya Pejabat Pembangunan Negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan JHEAIPP telah menyerahkan kepada Tuan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara selaku Pengerusi Masjid Abdullah Fahim.

Pada 11 Oktober 2012, solat Zohor pertama diadakan di masjid ini. Pada sebelah malamnya pula, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang membuat perisytiharan bangunan tersebut sebagai masjid. Dalam majlis berkenaan juga turut diadakan bacaan yasin dan tahlil sempena pembukaan masjid ini.

Masjid ini mencipta sejarah apabila Solat Jumaat pertama telah dilaksanakan pada tanggal 12 Oktober 2012. Antara tetamu kenamaan yang hadir menunaikan solat Jumaat pertama di masjid ini ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Haji Abdul Rahman Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Turut hadir ialah Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ketika itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...