Friday 28 June 2013

Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas Pulau Pinang

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas Pulau Pinang. Di sini saya nak kongsikan sedikit info menarik tentang masjid yang cukup cantik ini.

Masjid Abdullah Fahim dinamakan sempena nama tokoh ulama' yang terkenal suatu masa dahulu iaitu Sheikh Abdullah Fahim. Tokoh ulama' ini dilahirkan di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah pada tahun 1870 di satu tempat tidak jauh dari Masjid al-Haram yang bernama Shuib Ali. Bolehlah dapatkan maklumat berkenaan tokoh tersebut di sini.
 
Projek pembinaan Masjid Abdullah Fahim melibatkan kos sebanyak RM25 juta. Masjid baru ini mula dibina pada bulan Jun 2009. Masjid ini mampu memuatkan lebih kurang 6000 jemaah pada satu-satu masa.

Majlis Penyerahan secara rasmi Masjid Abdullah Fahim daripada Pihak Perlaksana iaitu Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang kepada Pejabat Pembangunan Negeri telah berjalan dengan jayanya pada 1 Oktober 2012. Seterusnya Pejabat Pembangunan Negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan JHEAIPP telah menyerahkan kepada Tuan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara selaku Pengerusi Masjid Abdullah Fahim.

Pada 11 Oktober 2012, solat Zohor pertama diadakan di masjid ini. Pada sebelah malamnya pula, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang membuat perisytiharan bangunan tersebut sebagai masjid. Dalam majlis berkenaan juga turut diadakan bacaan yasin dan tahlil sempena pembukaan masjid ini.

Masjid ini mencipta sejarah apabila Solat Jumaat pertama telah dilaksanakan pada tanggal 12 Oktober 2012. Antara tetamu kenamaan yang hadir menunaikan solat Jumaat pertama di masjid ini ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Haji Abdul Rahman Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Turut hadir ialah Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ketika itu.

Thursday 27 June 2013

Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Siri Akhir - Rumusan)

Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu yang berkabus

Edisi terakhir catatan perjalan saya ke Kota Kinabalu. Kali ini saya nak baut rumusan tentang perjalanan tersebut. Mungkin boleh dijadikan panduan buat semua. Disebabkan ini pertama kali saya ke sana, jadi mungkin terdapat banyak kekurangan dan penambahbaikan perlu dilakukan sekiranya berkunjung lagi ke Sabah.
 
 
Tempat Yang Wajib Dilawati.
  1. Pasar Filipina
  2. Pasar Kraftangan
  3. Signal Hill
  4. Pantai Tanjung Aru
  5. Kinabalu Park
  6. Dairy Farm Kundasang
  7. Poring Hot Spring
  8. Luanti Fish Spa
  9. Rumah Terbalik
  10. Kudat
  11. Pulau Manukan
  12. Pulau Sapi
 
Perkara Yang Perlu Dipastikan Sebelum Pergi
  1. Jangan lupa bawa pengenalan diri
  2. Pastikan urusan kenderaan di Sabah selesai
  3. Salinan Kad Pengenalan dan Lesen Memandu untuk pemandu kereta sewa
  4. Pastikan urusan penginapan selesai
  5. Bawa peta atau GPS
  6. Kamera sangat wajib dibawa
  7. Rancang perjalanan anda
  8. Bawa wang secukupnya
 
Tips berguna untuk anda yang berhasrat ke Sabah.
  1. Sewa kenderaan kepada syarikat yang boleh dipercayai. Saya rasa semuanya yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa ok. Boleh search google untuk mencari syarikat yang menawarkan kereta sewa terbaik dan termurah. Sentiasa berhubung dengan syarikat atau individu yang menawarkan kereta sewa tersebut.
  2. Rancang perjalanan sebaiknya. Sentiasa ingat, waktu di Sabah lebih kurang 1 jam awal dari Semenanjung.
  3. Cari penginapan di sekitar Bandar Kota Kinabalu. Mudah untuk anda bersiar-siar dan membeli belah di kawasan tersebut dengan hanya berjalan kaki.
  4. Boleh rancang untuk menginap di Kundasang 1 malam bagi merasai suasanan sejuk Gunung Kinabalu.
  5. Makanan di sini berbeza dari Semenanjung. Tak perlu hairan sekiranya anda pesan lain, tapi lain yang anda dapat.
  6. Juga tak perlu hairan sekiranya anda diberikan semangkuk sup sebelum makan.
 
Ok lah, mungkin setakat nie jer dulu ceritera saya tentang pengalaman ke Sabah. Sebarang pertanyaan, bolehlah ajukan kepada saya menerusi ruangan komen di bawah. jadi, kepada yang berhasrat ke Sabah, saya ucapkan selamat bercuti dan bergembiralah di sana. Insya Allah, saya pon akan datang lagi ke Sabah 6 Julai 2013 nie...Edisi lepas geram, hehehehehe
 
 

Monday 24 June 2013

Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Siri 4)

Entri sebelaum ini saya dah menceritakan tentang perjalanan saya ke Kundasang di mana kita boleh melihat pemandangan yang cantik dan menarik. Kali ini saya nak menceritakan pengalaman saya pergi meninjau pasar ikan yang terdapat di Kota Kinabalu.
 
Hari Ke-3
 
Mungkin ramai pelancong yang datang ke Kota Kinabalu tidak akan menyangka adanya satu lagi tarikan di sini. Pasar ikan Kota Kinabalu terletak di belakang Pasar Besar Kota Kinabalu. Ini adalah tempat menaikkan hasil tangkapan nelayan. Di sini kita dapat melihat hasil-hasil laut yang segar dan murah.

Suasana di Pasar Ikan Kota Kinabalu
 
Kebanyakan pembeli di sini adalah masyarakat tempatan, peniaga-peniaga kedai makanan dan peraih. Harga hasil laut di sini sangat murah jika dibandingkan dengan di Semenanjung. Tetapi ia bergantung juga dengan keadaan cuaca dimana nelayan tidak turun ke laut dan harga akan meningkat.

Pelbagai hasil laut ada dijual di sini. Namun, anda tidak akan berjumpa dengan kerang. Kalau anda adalah merupakan peminat kerang, buka di Kota Kinabalu tempatnya. Ikan-ikan besar begini amat biasa di sini.
 
Terdapat juga mereka yang menjual rumpai laut yang segar. Rumpai laut ini sangat popular di Negeri Sabah kerana dikatakan terdapat khasiat semulajadi apabila memakannya. Di pasar ini, mereka menjual rumpai laut yang segar dan montok-montok. Dikatakan rumpai laut ini sedap dimakan mentah buat ulam.
 
Namun, apa yang menarik perhatian saya bila berkunjung ke sini, para pekerjanya terdiri daripada kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 – 15 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada anak pulau di sekitar perairan Sabah yang tidak mendapat pendidikan formal.
 
Kami sempat untuk membeli sedikit hasil laut mentah untuk dimasak. Memang sangat murah harga di sini. Nak beli banyak-banyak pon takut tak habis makan.

Siput yang tidak diketahui namanya

Bila sebut pasal masak, mungkin ramai nak tahu kami nak masak macam mana kan. Nak dijadikan cerita, pada pagi hari tadi, kami mencari sarapan untuk mengisi perut. Pusing-pusing di Pasar Besar Kota Kinabalu, kami singgah di satu gerai yang menjual nasi lemak dan roti canai. Bila dah peramah tu, dok tanya la macam-macam kat tuan gerai tu sambil sembang-sembang. Memang ramah orang Sabah nie. Suaminya orang Johor dan dah lama menetap di Sabah. Menurut beliau, nak cari roti canai si Kota Kinabalu, di gerai mereka ja ada. Jadi, sekiranya anda ke Sabah dan nak menikmati roti canai, singgahlah ke gerai Kak Rose di atas Pasar Besar Kota Kinabalu.
 
Ok, selesai promo gerai Kak Rose. Berbalik kepada cerita tentang masak tadi. Kak Rose mempelawa untuk memasakkan hasil laut sekiranya kami nak makan puas-puas. Jadi, kami pon beli la hasil laut di pasar ikan untuk dimasak.
 
Kami balik ke Hotel untuk mandi dan bersiap. Tiba waktu makan tengah hari, kami terus ke gerai Kak Rose untuk makan. Banyaknya makanan dan boleh makan hasil laut puas-puas.
 
Kak Rose berbesar hati nak bawa kami membeli belah cenderamata di Pasar Kraftangan dan sedikit hasil laut kering. Bila ada orang yang dikenali, mudah la urusniaga dan proses tawar menawar. Ini ada satu tips, sekiranya anda ingin membawa pulang hasil laut kering, anda boleh meminta mereka bungkuskan di dalam kotak dan boleh dibawa menaiki kapal terbang.
 
Jadi, berhabis lah wang kami di sekitar Pekan Kota Kinabalu ini. Macam-macam cenderamata dibeli untuk rakan-rakan dan keluarga.

Durian Oh Durian

Durian Oh Durian...Sebelum ini saya pernah menceritakan tentang jenis-jenis durian yang ada di Malaysia. Boleh tengok entri tentang jenis-jenis durian di sini.

Semalam, kami dijemput oleh rakan sekerja untuk menikmati durian di kebun bapanya. Teruja sungguh untuk ke sana. Lokasi kebun durian yang dimaksudkan ialah di Kampung Tanjung Luar, Kuala Nerang Kedah. Lebih kurang 20km dari Alor Setar dan dah tak jauh untuk ke Tasik Pedu.

Perjalanan ke lokasi mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kami bertolak dari Pulau Pinang lebih kurang jam 9 selepas menikmati sarapan pagi di Jalan Baharu. Sebenarnya jarang saya ke Kedah dan tak biasa dengan jalan di sana. Jadi, khidmat GPS amat diperlukan.
 
Pondok Durian di Kebun


Kami tiba di lokasi lebih kurang jam 11 pagi. Perjalanan ke kebun durian tersebut boleh menaiki kereta kerana terdapat jalan kampung ke sana. Sungguh nyaman suasana di sini kerana terdapat pokok durian yang tinggi-tinggi. Tapi agak sedikit panas kerana tiada angin yang bertiup seperti di kawasan sawah padi.

Masih banyak yang belum gugur
 
Kebun durian ini tidak terlalu la terlalu luas. Di sini terdapat lebih 30 pokok durian pelbagai jenis. Antara yang banyak di sini ialah jenis Udang Merah. Dulu saya pernah beli Durian Udang Merah di Teluk Kumbar, harganya RM25 untuk 2 biji. Mahal sungguh durian udang merah nie. Menurut Pak Cik Idrisi, harga yang dijual kepada peraih ialah lebih kurang RM10 sebiji. Ada juga buah jenis D24, Kancing Baju, Chanee dan lain-lain. Saya masih tak dapat bezakan jenis-jenis durian. Apa yang saya tahu, durian itu berduri. Hehehehehe.

Ada buah yang rendah juga

Tengok durian berlonggok-longgok, rasa tak sabar nak makan. Datang sini boleh la makan puas-puas durian yang ada. Memang isi durian di sini warnanya kuning dan rasanya sangat sedap. Ishh!!!, tak dapat nak bayangkan kesedapannya. Makan la puas-puas, jangan nanti tak boleh drive balik sudah...

Gedebuk!!!!! sekali sekali terdengar bunyi durian jatuh memecah kesunyian. 

Di dangau, sempat kami masak untuk makan tengah hari. Bila dah makan durian banyak-banyak, nak makan nasi pon dah tak lalu.

Pakcik Idrisi mengasingkan buah yang elok
Jam sudah menunjukkan jam 2 petang. Selepas selesai solat, kami meminta diri untuk pulang. Pakcik Idrisi suruh saya tolak kereta sorong yang penuh dengan durian yang telah di pilih ke kereta. Saya tanya untuk apa? Dia kata, "Pak Cik sedekah buah durian nie. Minta doa supaya musim depan bertambah rezeki dan buah bertambah elok". Huhh!!!, terima kasih la banyak-banyak...InsyaAllah, saya akan doakan untuk semua.

Kami bertolak balik dengn kereta yang penuh dengan durian. Ada lebih kurang 20 biji udang merah. Samapi di rumah lebih kurang jam 6.00 petang dengan pemanduan santai sebab mengantuk.

20 biji durian yang ada kami panjangkan sedekah kepada jiran-jiran. 2 biji ja untuk kami, tu pon dah cukup. Seronok uncle sebelah rumah dapat durian, dia kata durian sekarang mahal.

Terima kasih sekali lagi kepada Puan Hakishah dan suami sebab jemput kami ke dusun durian ayah mereka. Terima kasih juga buat semua atas layanan yang sungguh baik. Ada rezeki kami datang lagi.

Peace!!!

Buah rosak yang dijadikan tempoyak

Kutip sendiri



 

Thursday 20 June 2013

Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Siri 3)

Untuk Siri 3 ini, saya akan menceritakan pengalaman kami menyusuri laluan berliku ke Kundasang dan Ranau. Mungkin boleh menjadi panduan kepada anda semua.

Rumah Terbalik
Hari Ke-2
 
Seawal 6.00 pagi kami telah memulakan perjalanan ke Kundasang. 6 pagi di Kota Kinabalu sudah cerah, bukan macam di semenanjung. Cuaca pagi ini cerah, namun pada sebelah petang biasanya akan hujan.
 
Dalam perjalanan ke Kundasang, terdapat beberapa tempat menarik yang boleh anda singgah. Lokasi pertama persinggahan kami ialah Rumah Terbalik. Tempat ini terletak di tepi jalan sahaja menuju ke Kundasang.

Apa yang menarik di sini ialah terdapat satu kawasan dimana semua rumah, kereta berada dalam keadaan terbalik. Kadar tiket masuk ialah RM10.00 untuk pemegang MyKad. Kanak-kanak bawah 12 tahun RM5.00 dan percuma bagi 3 tahun ke bawah. Rumah terbalik ini dibuka seawal jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Untuk lebih lanjut tentang Rumah terbalik ini boleh la rujuk website yang diberikan di sini.

Sekejap jer kami di Rumah Terbalik. Kami teruskan perjalanan menuju ke Kundasang. Tapi sebelum itu, kami singgah sebentar di Pekan Tamparuli.

Tamparuli merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di Tuaran, Sabah. Kebanyakan penduduk di sini berbangsa Kadazan-Dusun. Di samping itu, terdapat juga komuniti berbangsa Cina yang berniaga di sini. Tamparuli terkenal dengan daya tarikannya iaitu mempunyai jambatan gantung terpanjang, dengan terciptanya lagu 'Jambatan Tamparuli', yang kini menjadi lagu kegemaran bagi kaum Kadazan Dusun. (Sumber Wikipedia).

Peace!!! Kami kat Jambatan Tamparuli

Bagi mereka yang gayat atau bahasa kasarnya penakut, sila fikir dahulu sebelum menyeberangi jambatan gantung ini. Nama pun jambatan gantung, dah tentulah bergoyang bila berjalan menyeberanginya.

Kami meneruskan perjalanan ke Kundasang kerana tujuan kami sebenarnya nak melihat keindahan Gunung Kinabalu. Cuaca semakin mendung dan hujan renyai-renyai sudah mulai turun. Huh!!, sepanjang perjalanan ke Kundasang, baru la rasa tercabar sebagai seorang pemandu. Dengan jalan berliku, ditambah dengan hujan lebat dan laluan mendaki.

Suasana di luar sudah semakin sejuk. Hawa dingin sudah dirasai dan kabus-kabus sekali sekala menghalang pemandangan. Lebih kurang 2 jam perjalanan, kami tiba di Pekan Kundasang.

Gerai tepi jalan di Kundasang

Di tepi jalan ada gerai yang menjual buah-buahan dan makanan tradisional masyarakat Sabah. Ada yang sering kita jumpa, tapi ada juga yang tak pernah nampak di Semenanjung. Jadi, bertanya adalah jalan terbaik untuk lebih mengetahui. Jurujual di sini baik-baik, mereka tahu kita pelancong dan akan bercerita tentang buah-buahan yang pelik di sini. Kalau bernasib baik, mereka bagi rasa buah-buahan tersebut.

   

Di Kundasang ini terdapat juga beberapa tempat menarik. Antaranya ialah Kundasang War Memorial yang terletak di bahagian belakang deretan kedai pekan Kundasang. Ini adalah tugu peringatan sempena memperingati askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Tu Gunung Kinabalu....

Yang lebih menarik di Kundasang ini ialah lokasinya terletak paling hampir dengan Gunung Kinabalu. Cuaca yang segar serta pemandangan yang indah menjadi alasan utama ramai pelancong datang berkunjung ke Kundasang.

Kami menuju ke Desa Cattle (Ladang Lembu Mosilou) atau dikenali dengan Desa Dairy Farm. Ini la lokasi yang ramai sangat pelancong nak pergi.

Tengok dari pemandangan, ibarat macam berada di New Zealand. Dikenali sebagai Projek Tenusu Desa, ladang yang sejauh kira-kira lapan kilometer (km) dari pekan Kundasang itu memiliki 680 lembu tenusu termasuk baka Fresian yang diimport dari New Zealand dan Australia.


Di sini anda boleh mendapatkan susu lembu yang segar dari ladang. Kalau nasib anda baik, anda boleh menyaksikan bagaimana mereka memerah susu lembu. Biasanya proses ini dijalankan pada waktu petang.

Pada hari ini kami tidak bernasib baik kerana keadaan berkabus. Sekali sekala apabila kabus berlalu, boleh nampak puncak Gunung Kinabalu. Tengok gambar pon dah boleh rasai nyamannya suasana di sini.

    

Lokasi terakhir kami pergi sebelum pulang semula ke Kota Kinabalu ialah Taman Negara Kinabalu yang dibuka pada tahun 1964 merupakan yang tertua dan paling popular di rantau ini. Pada tahun 2000, ia diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia. Ini merupakan pengesahan masyarakat antarabangsa terhadap kekayaan khazanah hutan yang terdapat di Taman Kinabalu.

Sempat berposing walaupun keletihan

Taman Negara ini adalah laluan utama para pendaki ke Puncak Gunung Kinabalu. Di sini terdapat hostel, dewan dan tempat makan yang selesa.
 
Untuk entri seterusnya saya akan menceritakan pengalaman berada di pasar ikan Kota Kinabalu. 

Wednesday 19 June 2013

Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Siri 2)

Kali ini saya nak ceritakan Fasa Ke-2 tentang perjalanan ke Negeri Sabah. Perjalanan dari Pulau Pinang ke Sabah menaiki penerbangan Air Asia mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Untuk penerbangan tambang murah, pesawat akan mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Pemeriksaan Imigresen di lapangan terbang akan dilakukan sebaik sahaja kita turun dari pesawat. Kepada yang ada paspot tu mudah la berurusan. Tapi, sekiranya mengunakan Kad Pengenalan, border pas akan dikeluarkan oleh pihak Imigresen dalam bentuk resit. Resit ini perlu disimpan untuk ditunjukkan semula semasa pulang nanti. Jadi, seperti yang dinyatakan dalam entri sebelum ini, jangan lupa bawa pengenalan diri masing-masing walaupun bayi yang masih kecil.


Kereta Sewa
 
Bagi mereka yang memerlukan kereta sewa, terdapat banyak syarikat yang menawarkan khidmat tersebut. Apa yang boleh saya cadangkan ialah, anda survey dahulu kadar yang diberikan dan buat perbandingan.  Saya telah memilih menggunakan khidmat kereta sewa Syarikat Sewa Bah. Pada pandangan saya, ia memberikan perkhidmatan yang baik dan kondisi kenderaan juga dalam keadaan baik serta harga yang berpatutan. Memandu sendiri adalah pilihan terbaik bagi mereka yang ingin ke Sabah. Tapi, anda perlu ada kemudahan GPS atau peta sekiranya pertama kali ke sana.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu

Hari Pertama

Penerbangan kami sampai ke Sabah lebih kurang jam 1.30 tengah hari. Selepas selesai uruasan mengambil kereta sewa yang dihantar ke Lapangan Terbang, kami mencari tempat makan.

Sepanjang pencarian google saya sebelum ke Sabah, mereka mencadangkan untuk merasai makan di Restoran Kak Nong yang terletak di persimpangan Sutera Harbour Resort.

Selesai menjamu selera, kami bergerak menuju ke tempat penginapan kami di Tune Hotel Kota Kinabalu. Lebih kurang 15 minit perjalanan menaiki kereta dari Pusat Bandar Kota Kinabalu. Hanya ini sahaja hotel murah yang ada kerana kebanyakan hotel murah sekitar Kota Kinabalu dah penuh. Dalam perjalanan ke Hotel, anda boleh menyaksikan pemandangan laut yang luas kerana Kota Kinabalau terletak di tepi laut yang airnya biru.


Pada sebelah petangnya, kami berjalan-jalan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Tempat utama yang hendak kami tuju ialah Pasar Kraftangan dan Pasar Filipina. Memang tempat ini dah bermain-main di fikiran sebelum datang ke sini lagi.



Di Pasar Kraftangan, terdapat banyak cenderamata yang boleh dibeli. Yang paling terkenal di sini ialah mutiaranya. Untuk berurusniaga di sini kena bijak memilih dan pandai tawar menawar. Kebanyakan gerai di dalam Pasar Kraftangan ini menjual barangan yang sama, jadi anda perlu memilih gerai yang menawarkan harga terbaik.
 
Jam menunjukkan jam 6.00 petang. Namun suasana di Kota Kinabalu sudah mulai gelap. Di luar Pasar Kraftangan, terdapat Pasar Filipina. Pasar ini amat popular dengan hasil lautnya sama ada yang telah dimasak, yang akan dimasak atau yang mentah. Terdapat banyak gerai-gerai makan yang didirikan di sini untuk pengunjung-pengunjung menikmati makanan laut yang segar.


Kepada yang tidak meminati makanan laut, ada juga makan lain yang disediakan seperti sayap panggang (kepak ayam), makanan bergoreng dan lain-lain. Tapi jangan terkejut, kuantiti sepinggan nasi atau mee goreng di sini adalah banyak. Sesuai untuk makan berdua jika perut anda kecil. Mee yang digunakan juga lebih halus dan menyerupai mee segera.
 
Ikuti episod seterusnya dalam entri akan datang.

Tuesday 18 June 2013

Sabah Negeri Di Bawah Bayu (Siri 1)

Mungkin ramai di kalangan warga semenanjung masih belum dapat berpeluang menjejakkan kaki di Negeri Sabah. Entri kali ini saya nak berkongsi pengalaman saya ke Negeri Sabah dan mungkin boleh menjadi petunjuk kepada mereka yang akan ke Sabah.

Sabah adalah salah satu daripada 13 negeri yang terdapat di Malaysia dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak yang terletak di utara pulau Borneo, iaitu pulau ketiga yang terbesar di dunia.  Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu, yang dahulunya dikenali sebagai Jesselton. Sabah juga sering dirujuk sebagai "Negeri di Bawah Bayu" kerana kedudukan negeri tersebut yang sangat strategik di bawah laluan angin monsun. (Sumber Wikipedia)


Fasa 1:

Untuk melancong ke Sabah, pastikan perkara-perkara berikut telah anda selesaikan terlebih dahulu.
  1. Tiket Penerbangan
  2. Penginapan
  3. Pengangkutan Darat (Kereta)
Ini adalah versi budget dan tidak memerlukan pemandu pelancong untuk membawa anda. Jadi, kena betul-betul pastikan 3 perkara ini diselesaikan dan disahkan terlebih dahulu.
 
  
Apa yang perlu dibawa?
 
Kalau ditanya apa yang perlu dibawa, satu rumah pun kita nak bawa. Tapi memadai dengan membawa keperluan asas untuk melancong sahaja. Bukan apa, ke Sabah perlu naik flight, jadi barang yang boleh dibawa adalah terhad. Pastikan anda tidak melebihi had berat bagasi yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan. Kalau lebih tu, pandai-pandailah bayar lebih ye.
 
Apa yang penting sekali ialah jangan lupa bawa pengenalan diri seperti Kad Pengenalan, Paspot dan MyKid atau Surat Beranak bagi kanak-kanak. Kamera untuk abadikan kenangan anda jangan lupa bawa pula.
 
Untuk Fasa Kedua, saya akan ceritakan dalam entry seterusnya.
 
 



Jom Kenali Durian

 
Musim durian kembali lagi. Kalau dilihat di sekitar tempat anda, boleh dikatakan sudah wujud peniaga-peniaga durian di tepi-tepi jalan. Sekiranya ditanya, harganya masih lagi tinggi buat masa ini kerana masih belum ada lambakan durian di pasaran. Hanya kawasan-kawasan tertentu sahaja yang duriannya sudah luruh terutama di kaswan Balik Pulau, Pulau Pinang.
 
Ramai orang hanya tahu makan sahaja, namun tidak mengenali durian dengan lebih mendalam. Durian ialah spesies beberapa jenis tumbuhan dalam genus Durio yang menghasilkan buah beraroma kuat yang boleh dimakan. Ia amat terkenal di Asia Tenggara di mana ia digelar "raja buah". Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Daripada duri itulah ia mendapat namanya. Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 lb). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies. (Sumber Wikipedia).
 
 
Di Malaysia kini terdapat 13 jenis durian yang bermutu tinggi dan kualiti buah yang baik.
  1. D24
  2. D99 (Kop Kecil)
  3. D123 (Chanee)
  4. D145 (Beserah)
  5. D158 (Kan Yau)
  6. D159 (Mon Thong)
  7. D168 (Hajjah Hasmah atau IOI)
  8. D169 (Tok Litok)
  9. D175 (Udang Merah)
  10. D188 (MDUR 78)
  11. D190 (MDUR 88)
  12. D189 (MDUR 79)
  13. D197 (Raja Kunyit atau Musang King)
Daripada senarai di atas, hanya terdapat beberapa jenis sahaja yang popular di kalangan masyarakat kita iaitu D24, Udang Merah dan Musang King. Agak sukar bagi kita untuk membezakan jenis-jenis durian ini. Unutk maklumat terperinci mengenai jenis-jenis durian ini, bolehlah rujuk Jurnal Malaysia.

Jom makan durian puas-puas!!

Monday 17 June 2013

Mini Turun Harga Kereta 30K??

 
 
Mini, memperkenalkan dua model iaitu Mini Cooper Countryman dan Mini Cooper S Countryman ALL4 dengan harga terbaharu masing-masing RM218,888 dan RM258,888.

Harga terbaharu itu membabitkan penurunan harga sehingga RM30,000 berbanding harga sebelum ini. Harga terdahulu dua model itu bernilai RM248,888 dan RM268,888. Ianya baru cadangan daripada BMW Malaysia, tertakluk kepada kerajaan Malaysia untuk mengunapakai harga tersebut.

Penurunan ini adalah kerana ianya merupakan langkah pemasangan tempatan (CKD) terhadap dua model Mini Cooper tersebut yang dilakukan di kilang Inokom Kulim, Kedah. Pemasangan pertama di negara ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos keseluruhan pemilikan di samping mengekalkan standard kualiti premium sedia ada.
Mini Countryman tersebut didatangkan dalam dua siri pilihan enjin 1.6 liter iaitu Mini Cooper Countryman dan Mini Cooper S Countryman ALL4.

Walaupun harganya telah turun sebanyak RM30K, ianya bukanlah sebuah kereta mampu milik bagi kebanyakan orang di Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...